KUALA LUMPUR: Seorang senator Filipina mencetuskan kontroversi apabila menggesa kerajaan negara itu menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah, dengan alasan krisis tenaga yang semakin meruncing.
Robin Padilla dalam kenyataan terbaharu merayu kepada Presiden Ferdinand Marcos Jr. supaya mengambil langkah tegas berhubung isu berkenaan, termasuk menghantar wakil rasmi bagi memperkukuh tuntutan tersebut.
Menurut Padilla, wilayah Sabah atau Borneo Utara mempunyai potensi sumber minyak yang besar dan mampu membantu Filipina menangani masalah bekalan bahan api.
“Sudah tiba masanya kita bertindak dan menghantar wakil kita. Borneo Utara kaya dengan sumber minyak,” katanya dalam surat terbuka yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.
Beliau turut menggesa pelbagai pihak di Filipina untuk meningkatkan semangat patriotisme dan menyokong usaha kerajaan dalam memperjuangkan tuntutan itu.
Untuk rekod, tuntutan Filipina ke atas Sabah pernah difailkan pada Jun 1962 ketika pentadbiran Diosdado Macapagal.
Bagaimanapun, Sabah kini adalah sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.
