Pengarah jabatan negeri didakwa bersubahat terima pelbagai barangan hampir RM100,000

Tseu Kei Yue, 58, ketika itu merupakan Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah didakwa bersubahat dengan beberapa penjawat awam untuk menerima pelbagai barangan berharga tanpa balasan daripada beberapa syarikat.


KOTA KINABALU: Seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, terhadap 20 pertuduhan bersubahat menerima pelbagai barangan bernilai hampir RM100,000 daripada beberapa syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengan jabatan berkenaan.

Tertuduh, Tseu Kei Yue, 58, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah, Elsie Primus.  

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah didakwa bersubahat dengan beberapa penjawat awam untuk menerima pelbagai barangan berharga tanpa balasan daripada beberapa syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi jabatan tersebut.  

Antara barangan yang diterima termasuk telefon bimbit jenama Samsung dan iPhone, komputer riba Asus, mesin basuh, gitar bass, peralatan gim serta komponen kenderaan, yang bernilai tidak lebih daripada RM5,000 setiap satu.  

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Disember 2023 hingga Januari 2024 di beberapa lokasi termasuk di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.  

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rustam Sanip, manakala tertuduh diwakili peguam Bartholomew Jingulam.  

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.  

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan deposit RM10,000 selain perlu melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu setiap dua bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.  

Tertuduh diarahkan perlu melaporkan diri di SPRM Kota Kinabalu selama dua bulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa dan tidak boleh mendekati saksi-saksi pihak pendakwaan. 

Mahkamah turut menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama