KOTA KINABALU: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi menuntut bayaran bagi beberapa program komuniti.
Tertuduh, Bakri Bibi, 53, yang bertugas sebagai Pegawai Antidadah Gred S48 membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan dokumen pembelian terus pelawaan tawaran harga atas nama syarikat Yazied Photostate Centre sebagai dokumen tulen sedangkan dokumen berkenaan didakwa palsu.
Dokumen itu dikemukakan bagi tujuan mendapatkan bayaran bagi beberapa program termasuk Perkhidmatan Makan Minum Program Pengaktifan Community di Kunak pada 13 Ogos 2018 berjumlah RM2,700.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dokumen sama untuk mendapatkan bayaran RM2,500 bagi Perkhidmatan Makan Minum Program Khidmat Masyarakat di Kunak pada 29 Ogos 2018.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa membuat tuntutan masing-masing berjumlah RM4,500 bagi Program Kesedaran Bahaya Dadah di TSH Wilmar Kunak pada 29 Mac 2019 serta Program Skuad AADK Tawau Hiking Bukit Lim Man Kui pada 30 Mac 2019.
Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran RM2,620 untuk perkhidmatan membekal bahan binaan bagi program gotong-royong komuniti di Kampung Tawau Lama pada 16 April 2019 serta di Dewan Sri Tawau, SMK Balung Tawau pada 14 April 2019.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat AADK Negeri Sabah, Tingkat 5, Wisma San Hin, Plaza Wawasan di sini antara 19 Ogos 2018 hingga 23 April 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan serta deposit RM4,000 seperti yang ditetapkan dalam kes sebelum ini.
Tertuduh juga diarahkan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan sekali selain menyerahkan pasport antarabangsa dan pasport terhad kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi kes.
Mahkamah menetapkan 27 April depan untuk pengurusan kes.
