KOTA KINABALU : Kontinjen
perbarisan Jabatan Perhutanan Sabah sekali lagi membuktikan keunggulan apabila
dinobatkan sebagai johan Pertandingan Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran
Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah tahun ini.
Kejayaan itu mengekalkan reputasi
jabatan berkenaan sebagai antara kontinjen terbaik dalam kategori Jabatan
Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi.
Ketua pasukan, Arsiman Shah
Durahman, berkata kemenangan itu hasil disiplin tinggi serta semangat
berpasukan yang ditunjukkan sepanjang latihan kawad kaki.
“Pertama sekali, kami bersyukur
kerana berjaya mempertahankan kejuaraan dalam kategori ini dan seluruh pasukan
amat gembira dengan pencapaian ini.
“Walaupun hanya menjalani latihan
kawad kaki selama tiga hari melibatkan sesi pagi dan petang, kami tetap
memberikan komitmen penuh. Usaha ini akan diteruskan bagi mengekalkan prestasi
sebagai juara,” katanya kepada media.
Bagi kategori sama, tempat kedua
dimenangi Majlis Perbandaran Sandakan manakala tempat ketiga disandang Jabatan
Kastam Diraja Malaysia Sabah.
Sementara itu, bagi kategori
Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi, johan dimenangi Pejabat
Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM Sabah), diikuti Kementerian Pembangunan
Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif di tempat kedua, manakala tempat ketiga
milik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Dalam kategori Pertubuhan Etnik
Sabah, Persatuan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Bajau Tabawan Sabah Sandakan
(SABATA) muncul juara, diikuti Persatuan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Suluk
Sandakan sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi Pertubuhan Adat
Gabungan Bangsa Tidung Negeri Sabah (PANTAS).
Bagi kategori Swasta atau Badan
Berkanun, Kumpulan Yayasan Sabah muncul johan dengan markah keseluruhan 99
peratus, diikuti Sabah Electricity dengan 98 peratus, manakala tempat ketiga
dimenangi DBKK Holdings Sdn Bhd dengan 87 markah.
Selain itu, bagi kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Bulan Sabit Merah Malaysia Kota Kinabalu menjuarai pertandingan, diikuti Kawasan Rukun Tetangga Kota Kinabalu di tempat kedua dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sabah di tempat ketiga.
Pertandingan itu turut disertai
kategori institusi pengajian tinggi awam dan swasta dengan dua penyertaan,
menyaksikan Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) Sabah muncul johan,
manakala Unitar Kota Kinabalu di tempat kedua.
Bagi kategori sekolah pula, Kadet
Koreksional Sekolah Menengah Kebangsaan Pengalat Papar dan Sekolah Kebangsaan
Pangiran Siti Hafsah Karambunai masing-masing meraih tempat pertama bagi
kategori sekolah menengah dan sekolah rendah.
Pertandingan perbarisan itu
diadili panel yang diketuai Pegawai Waran I PAP (G1) Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM), Azro Mat Zaki, dengan bantuan pengadil daripada Tentera Darat
Malaysia, TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan
Penjara Malaysia serta Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Kesemua pemenang tempat pertama
bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta sijil dan
piala. Tempat kedua menerima RM1,300, manakala tempat ketiga memperoleh
RM1,000, masing-masing bersama sijil dan piala yang disampaikan oleh Datuk Bandar
Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
