JHEAINS larang pengebumian di Tanah Perkuburan Sim-Sim selepas runtuhan tanah

KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) melarang sebarang pengebumian jenazah dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Sim-Sim di sini susulan kejadian runtuhan tanah yang merosakkan kira-kira 20 kubur di kawasan berkenaan, pagi Rabu. 

Pengarah JHEAINS, Awang Juri Ag Tahir berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan selain keadaan tanah perkuburan tersebut yang sudah terlalu padat.

Menurutnya, Tanah Perkuburan Islam Batu 11 dikenal pasti sebagai lokasi alternatif yang sesuai bagi urusan pengebumian jenazah bagi menggantikan Tanah Perkuburan Sim-Sim.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian runtuhan berpunca daripada kepadatan kawasan perkuburan selain aktiviti penggalian kubur di bahagian bawah cerun yang dilakukan berulang kali sehingga menjejaskan struktur tanah.

“Keadaan itu menyebabkan tanah menjadi lemah sebelum berlaku runtuhan, lebih-lebih lagi selepas hujan lebat berterusan sejak malam tadi,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak lagi menjalankan pengebumian di kawasan tanah runtuh berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, katanya, kerja-kerja pembaikan sementara sedang dijalankan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan termasuk pemasangan kanvas bagi mengurangkan aliran air hujan dan mengelakkan kejadian runtuhan susulan.

Katanya, kubur yang terjejas akibat runtuhan itu akan dipindahkan dan dikebumikan semula di lokasi lain dengan persetujuan waris.

“Sekiranya waris bersetuju, jenazah akan dipindahkan dan dikebumikan semula di lokasi lain. 

"Namun bagi waris yang mahu jenazah kekal di tempat asal, pihak kami akan mengebumikannya semula di kawasan sama,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam Sim-Sim dilaporkan rosak selepas cerun di kawasan berkenaan runtuh dalam kejadian awal pagi tadi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama