KOTA KINABALU : Perbadanan
Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) meneruskan komitmen membantu golongan yang
memerlukan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menerusi penganjuran program
tahunan, Shopping Raya PBNS.
Pengerusi PBNS, Datuk Dr. Omar
Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar berkata program itu membawa pelajar
daripada keluarga kurang berkemampuan membeli pakaian serta kelengkapan
Aidilfitri bagi meringankan beban keluarga mereka.
"Seramai 27 pelajar terpilih
menyertai program berkenaan membabitkan 26 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK)
Bongol dan seorang pelajar dari SK Lokos.
“Alhamdulillah, hari ini kita
menyantuni pelajar-pelajar ini untuk membeli barangan keperluan sempena
Aidilfitri khususnya pakaian mereka.
“Inisiatif ini bertujuan
memastikan pelajar daripada keluarga memerlukan dapat membuat persiapan
menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria dan bermakna,” katanya ketika dihubungi
media selepas Program Shopping Raya PBNS, pada Sabtu.
Menurutnya, program itu adalah
antara pendekatan PBNS dalam memperkukuhkan peranan institusi baitulmal serta
memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terbela.
“PBNS akan terus komited
melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pembangunan ummah bagi memastikan
bantuan dapat disalurkan secara berkesan kepada golongan yang memerlukan di
seluruh Sabah.
“Kita berharap sumbangan ini
bukan sahaja membantu dari segi keperluan fizikal, malah memberi kegembiraan
serta kenangan indah kepada para pelajar dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri,”
katanya.
Selain memberi pengalaman
membeli-belah, kanak-kanak terbabit turut menerima sumbangan wang tunai yang
disampaikan Omar.
