KOTA BELUD: Jabatan Tanah dan Ukur Sabah menyita sebuah ekskavator dan sebuah lori dalam operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti pengorekan serta pengambilan pasir darat secara haram di Kampung Pintasan di sini, pada Khamis lalu.
Pengarahnya, Chua Ming Ling berkata operasi itu dilaksanakan selepas pasukan penguat kuasa jabatan menjalankan risikan dan intipan selama kira-kira seminggu susulan maklumat mengenai kegiatan pengambilan pasir secara haram di kawasan berkenaan.
“Pasukan penguat kuasa melancarkan serbuan kira-kira jam 9.45 pagi di lokasi yang dikenal pasti.
“Hasil serbuan itu, pihak jabatan menyita sebuah ekskavator jenis CAT dan sebuah lori Nissan 13 tan yang membawa muatan pasir darat.
“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana individu yang berada di lokasi kejadian sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari jnj.
Beliau berkata satu laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan akan dibuka oleh Unit Siasatan Bahagian Penguat Kuasa bagi melengkapkan siasatan.
“Tindakan selanjutnya akan diambil mengikut peruntukan di bawah Ordinan Tanah Sabah (Bab 68),”jelasnya.
Beliau menambah bahawa kejayaan operasi itu hasil kerjasama antara pasukan penguat kuasa jabatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemimpin masyarakat di Kota Belud serta maklumat daripada orang awam.
“Jabatan Tanah dan Ukur Sabah tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pengusaha yang melanggar undang-undang di bawah Ordinan Tanah Sabah,” ujar beliau.
