Pembangunan pasaran buruh Sabah perlu seiring kemajuan teknologi - James

James Ratib (kiri) dan Firdaus (kanan) pada Bengkel Pelan Tindakan Pengukuhan Pasaran Buruh Negeri Sabah 2026 yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial di sini, Jumaat lalu.


KOTA KINABALU: Pembangunan pasaran buruh di Sabah perlu bergerak seiring dengan kemajuan pendidikan dan teknologi bagi memastikan negeri ini mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib berkata pengukuhan pasaran buruh tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu pekerjaan, sebaliknya perlu digerakkan secara menyeluruh melalui pembangunan bakat, penguasaan teknologi dan sistem pendidikan yang responsif terhadap kehendak industri.

“Jika pendidikan, teknologi dan strategi pasaran buruh digerakkan secara selari, Sabah bukan sahaja mampu memperkukuh pasaran buruhnya, malah berpotensi muncul sebagai hab bakat dan inovasi di wilayah Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Pelan Tindakan Pengukuhan Pasaran Buruh Negeri Sabah 2026 yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial di sini, Jumaat lalu.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Kementerian Sumber Manusia Malaysia, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan di Pertubuhan Keselamatan Sosial, Asri Abdul Rahman.

Menurutnya, pembangunan ekosistem bakat yang kukuh memerlukan kerjasama strategik antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, institusi pendidikan serta pihak industri.

“Kerjasama strategik itu bagi memastikan setiap dasar dan program pembangunan bakat dapat diselaraskan secara bersepadu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya memberi penekanan kepada pengukuhan latihan teknologi tinggi, pembangunan inovasi serta peluasan capaian internet dan infrastruktur digital, khususnya di kawasan luar bandar.

“Pendekatan perancangan pasaran buruh berasaskan data melalui platform MYFutureJobs sebagai langkah tepat bagi memperkukuh analisis pasaran kerja serta meningkatkan padanan pekerjaan,” ujarnya.

Katanya, penyelarasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan keperluan industri, program reskilling dan upskilling serta penglibatan aktif majikan dalam pembangunan latihan merupakan antara langkah penting untuk memastikan graduan Sabah memiliki kemahiran teknologi yang diperlukan oleh pasaran. ‎


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama