Padah edar ketamin, lelaki tempatan berdepan hukuman mati

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berdepan hukuman mati selepas ditahan bersama dadah disyaki ketamin dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek berusia 29 tahun ditahan selepas pemeriksaan dijalankan oleh pasukan polis di sebuah lokasi di daerah berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui 19 paket plastik lut sinar mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis ketamin.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 54.62 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM8,193.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan tetrahydrocannabinol (THC),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke IPD Penampang bagi tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati boleh dikenakan penjara sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.

Dalam pada itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah kerana kegiatan itu boleh membawa kesan buruk kepada diri, keluarga serta masyarakat.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama