TAWAU: Seorang juragan bot nekad terjun ke laut bagi meloloskan diri selepas bot kargo yang membawa 60 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dikesan pihak berkuasa dalam operasi di perairan Tawau, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau yang menjalankan Op Pagar Laut dan Op Tiris menerima maklumat risikan berhubung pergerakan mencurigakan sebuah bot.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot peronda kemudian digerakkan ke lokasi bagi memintas bot berkenaan yang dikesan bergerak keluar dari Jeti Batu 3 menuju ke Pulau Sebatik.
“Bagaimanapun ketika cubaan memintas dilakukan, juragan bot bertindak berpatah balik menuju ke pesisir pantai sebelum nekad terjun ke laut dan melarikan diri dengan meninggalkan bot bersama muatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot kargo itu menemui 60 tong LPG berisi yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit kebenaran.
"Bot serta semua muatan kemudian dirampas sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kargo, enjin serta muatan dianggarkan RM53,800,” katanya.
Ariffin berkata, menjelang musim perayaan, permintaan barangan keperluan dari pasaran luar terhadap bekalan dari Tawau dilihat meningkat.
“Modus operandi sindiket biasanya menjalankan aktiviti pada waktu sunyi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999," katanya
