SHAH ALAM: Kira-kira 35,000 mahasiswa Sabah dijangka menerima manfaat subsidi tiket penerbangan menerusi inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah Subsidi Tiket Penerbangan (GRS/SUBFLY) tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sasaran itu dibuat susulan kejayaan pelaksanaan program berkenaan tahun lalu yang membantu mahasiswa menampung kos perjalanan pulang ke Sabah.
Beliau berkata, inisiatif GRS/SUBFLY diperkenalkan Kerajaan Negeri Sabah pada 2024 selepas mahasiswa membangkitkan isu kos tiket penerbangan yang tinggi untuk pulang ke kampung halaman, khususnya ketika musim perayaan.
“Tahun lalu, bantuan ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM11.7 juta.
“Seramai 19,505 mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan menerima subsidi sebanyak RM600 setiap seorang menerusi program berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi IPT Sabah di Semenanjung Malaysia yang menghimpunkan lebih 1,200 mahasiswa dari 31 IPT, semalam.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, peningkatan jumlah penerima pada tahun ini bertujuan memastikan lebih ramai mahasiswa Sabah dapat pulang ke kampung halaman tanpa dibebani kos penerbangan yang tinggi.
Katanya, kerajaan sentiasa peka terhadap cabaran yang dihadapi mahasiswa Sabah yang menuntut di luar negeri, terutama berkaitan kos pengangkutan udara yang sering meningkat ketika musim cuti dan perayaan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri turut menyalurkan RM6.79 juta kepada 22,649 pelajar menerusi inisiatif Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Menurutnya, bantuan sekali bayar sebanyak RM300 itu bertujuan membantu pelajar menampung kos pengangkutan, khususnya bagi mereka yang pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan.
“Kerajaan negeri komited memastikan kebajikan mahasiswa Sabah terus terpelihara menerusi pelbagai inisiatif bantuan pendidikan dan kebajikan bagi meringankan beban kos sara hidup pelajar,” katanya.
Sementara itu, majlis berbuka puasa tahunan berkenaan menjadi platform mengeratkan hubungan antara pimpinan kerajaan negeri dengan mahasiswa Sabah di perantauan selain membuka ruang komunikasi dua hala.
Melalui sesi interaksi itu, mahasiswa turut berpeluang menyuarakan pandangan dan cadangan bagi membantu kerajaan menambah baik dasar serta program berkaitan pendidikan dan kebajikan.
