Naik angin ditegur nasi belum masak, lelaki tetak rakan sekerja

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin.

TAWAU: Hanya kerana ditegur nasi belum dimasak, seorang lelaki berusia 21 tahun naik angin sebelum menetak rakan sekerjanya dengan pisau pemotong ikan dalam kejadian di sebuah restoran di Kubota Sentral, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada tangan kiri selepas diserang secara tiba-tiba oleh suspek yang tidak berpuas hati dengan teguran berkenaan.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital  Tawau sebelum satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan operasi mengesan suspek.

“Suspek berjaya ditahan di kawasan tepi jalan di Jalan Habib Hussein tidak lama selepas kejadian.

“Lelaki tempatan berusia 21 tahun itu merupakan pekerja di restoran sama dengan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 33 sentimeter dan sekeping plastik putih yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Katanya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama