KINABATANGAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar ke kebun berhampiran kawasan hutan di Kampung Meliau, Tongod, sejak Ahad lalu.
Mangsa Mohd Nizam Dahlan, 32, yang dikatakan keluar ke kawasan kebun kira-kira jam 11 pagi pada 15 Mac sebelum tidak pulang ke rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.17 petang semalam.
Menurutnya, sepasukan tiga anggota dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 148 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.25 malam sebelum mendapatkan maklumat lanjut daripada keluarga mangsa.
“Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa ditangguhkan pada jam 8.10 malam berikutan keadaan gelap selain tiada liputan rangkaian komunikasi di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hairi berkata, operasi SAR akan disambung semula pada pagi ini bagi mengesan mangsa yang dilaporkan mempunyai masalah kesihatan mental.
Katanya, setakat ini mangsa masih belum ditemui dan usaha mengesan akan diteruskan dengan bantuan pasukan bomba menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
