KOTA KINABALU: Semua pihak perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara profesional berhubung isu penangkapan seorang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri di Sabah, tanpa menyebarkan naratif yang boleh mengelirukan masyarakat.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, Azrul Ibrahim berkata, antara naratif yang dimainkan termasuk dakwaan individu terbabit masih berstatus kanak-kanak, sedangkan maklumat sedia ada menunjukkan sebaliknya.
Menurutnya, lelaki berkenaan dianggarkan berusia sekitar 19 tahun berdasarkan beberapa rujukan termasuk rekod kad vaksinasi pada tahun 2020 yang menunjukkan beliau berusia 13 tahun ketika itu.
“Perkara ini jelas menunjukkan bahawa dakwaan kononnya individu terbabit masih kanak-kanak tidak tepat dan mengelirukan.
“Dalam masa sama, dakwaan bahawa individu tersebut berasal daripada komuniti Bajau Laut juga tidak dapat dimuktamadkan kerana ketiadaan dokumen rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketiadaan dokumen sah menjadikan isu identiti termasuk latar belakang bangsa atau kewarganegaraan sebagai perkara yang kompleks dan hanya boleh ditentukan melalui siasatan pihak berkuasa.
Katanya, isu berkenaan seharusnya dilihat berasaskan fakta serta peruntukan undang-undang, bukannya sentimen atau naratif tanpa asas kukuh.
Azrul turut menegaskan adalah tidak wajar untuk mengaitkan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengenai perlindungan kepada komuniti Bajau Laut bagi memutarbelitkan fakta kes tersebut.
“Prinsip perlindungan kepada mana-mana komuniti tidak pernah bermaksud undang-undang negara boleh diketepikan.
“Dalam mana-mana negara berdaulat, dokumen pengenalan diri merupakan asas kepada pentadbiran undang-undang dan keselamatan negara,” katanya.
Menurut beliau, kes seperti ini turut tertakluk di bawah Akta Imigresen 1959/63, khususnya Seksyen 6(1)(c) yang memperuntukkan tindakan terhadap individu yang gagal mengemukakan dokumen sah.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar menghentikan penyebaran maklumat tidak tepat dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional.
“Biarlah kes ini ditangani dan diadili mengikut lunas undang-undang negara,” katanya.
