Lelaki gagal kemuka dokumen diri ditahan di One Borneo

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa dalam operasi cegah jenayah di kawasan One Borneo Mall, Jalan Sulaman, di sini, petang semalam.

Tangkapan kira-kira jam 3 petang pada 15 Mac itu dilakukan sepasukan anggota Taskforce Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menjalankan Ops Cegah Jenayah di kawasan berkenaan susulan peningkatan kes kecurian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, lelaki terbabit ditahan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.

“Suspek kemudian ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Syed Lot berkata, berhubung kejadian itu, satu rakaman video berkaitan tangkapan berkenaan turut tular di media sosial Facebook.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen Malaysia berhubung status kewarganegaraan suspek.

“Polis Daerah Kota Kinabalu akan terus mempergiatkan operasi cegah jenayah di lokasi tumpuan awam bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama