MP Sabah sebulat suara sokong tindakan undang-undang jika rundingan 40% gagal


KOTA KINABALU: Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara dari Sabah sebulat suara menyatakan kesediaan menyokong sebarang tindakan undang-undang yang difikirkan wajar oleh Sabah Law Society (SLS) sekiranya rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri gagal diselesaikan menjelang 15 April ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pendirian itu dicapai dalam sesi town hall dan taklimat khas yang dipengerusikannya bersama wakil rakyat Sabah bagi membincangkan pelaksanaan hak negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, isu berkenaan bukan perkara kecil kerana ia membabitkan hak Sabah yang sudah lama tertangguh serta memberi kesan besar terhadap kedudukan kewangan negeri.

“Sekiranya rundingan tidak mencapai penyelesaian dalam tempoh ditetapkan, kami bersedia berdiri teguh di belakang SLS bagi memastikan hak 40 peratus ini dilaksanakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut melahirkan kebimbangan terhadap kadar kemajuan rundingan yang disifatkan perlahan walaupun keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober tahun lalu amat signifikan kepada hak kewangan Sabah.

Katanya, selepas 136 hari daripada keputusan itu, hanya tiga mesyuarat rasmi di peringkat pegawai diadakan, sedangkan tempoh 180 hari akan berakhir pada 15 April ini.

“Kini hanya berbaki 44 hari. Masa semakin suntuk dan rundingan perlu dipercepatkan,” katanya.

Madius turut memaklumkan bahawa Memorandum Rayuan yang difailkan oleh Peguam Negara Persekutuan merangkumi keseluruhan penghakiman mahkamah kecuali pengiktirafan hak 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau berkata, mesyuarat berkenaan mengulangi pendirian supaya Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan terbabit bagi melancarkan proses rundingan.

Dalam perkembangan sama, Ahli-Ahli Parlimen Sabah turut mencadangkan supaya kerajaan negeri mewujudkan sistem penjejakan kutipan hasil Persekutuan bermula 1974 bagi memastikan data tahunan direkod dan dianalisis secara teratur.

“Misi ini bukan untuk individu atau parti tertentu, tetapi demi maruah dan hak rakyat Sabah.

"Jika rundingan gagal, kami tidak akan teragak-agak menyokong tindakan undang-undang,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama