Bot karam di perairan Sepanggar ragut satu nyawa, seorang masih hilang

IHSAN: BBP Sabah. 


KOTA KINABALU: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi masih hilang selepas bot dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan antara Sepanggar dan Pulau Gaya, awal pagi Isnin.

Mangsa, Jeksin Eming, 40 dipercayai lemas selepas terjun ke laut untuk menyelamatkan rakannya, Jaidin Eming, 30, yang terjatuh akibat pelanggaran dengan sebuah bot lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabah, Ordien Gilu berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa menjalankan aktiviti memancing berhampiran perairan antara Sepanggar dan Pulau Gaya.

“Jeksin berjaya dinaikkan ke bot dan dihantar ke Hospital Likas, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima makluman daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat (IPD) Kota Kinabalu berhubung kejadian itu kira-kira jam 5 pagi.

Bagaimanapun, panggilan rasmi diterima BBP Kota Kinabalu pada jam 9.47 pagi sebelum anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.

“Seorang lagi mangsa, Jaidin, masih belum ditemui.

“Operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 5.06 petang dan akan disambung semula pagi esok,” jelasnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama