Tukang masak mengaku tidak bersalah miliki tenggiling dilindungi

Tertuduh (dua dari kanan) tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memiliki haiwan dilindungi. Foto | Ihsan JHL.

TAWAU : Seorang tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki seekor tenggiling, iaitu spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, di sebuah resort di Semporna, bulan lalu.

Mohammad Ali Iqram Thien Abdullah, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki seekor tenggiling hidup daripada spesies 'manis javanica' yang ditemui di dalam tong plastik berwarna hitam pada 5.35 petang, 23 Februari lalu di resort berkenaan.

Haiwan itu merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya seperti disenaraikan dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 13 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, dan pemilikan itu didakwa tanpa sebarang kebenaran sah mengikut enakmen sama.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 41(4)(a) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Primus Lambut manakala tertuduh diwakili peguam Lim Chun Yuan.

Mahkamah menetapkan 14 April depan. untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan sebuah pusat peranginan di Semporna dikesan menghidangkan makanan eksotik termasuk spesies dilindungi sepenuhnya kepada pelancong.

Susulan itu, Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar dilaporkan berkata, pihaknya bersama polis menjalankan Operasi Bersepadu Khazanah sebelum menemukan dan merampas seekor tenggiling hidup yang diklasifikasikan sebagai hidupan liar dilindungi sepenuhnya, selain beberapa hidangan dipercayai membabitkan spesies hidupan liar dilindungi.

Katanya, beberapa individu turut dipanggil bagi membantu siasatan lanjut mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama