KOTA KINABALU: Sambutan Pesta
Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 akan diraikan dengan tema rasmi 'Kaamatan:
Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian.'
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk
Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata semua pihak diminta menggunakan tema
berkenaan sepanjang sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.
“Tema dalam Bahasa Inggeris ialah
Kaamatan: Harvesting Unity, Celebrating Harmony manakala dalam Bahasa Kadazan
Dusun ialah Kaamatan: Mongomot Pisompuruan, Mamaramai Piunungan," katanya
semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan
Negeri Sabah, pada Isnin.
Beliau yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Induk sambutan itu berkata tema berkenaan melambangkan semangat
perpaduan rakyat Sabah daripada pelbagai latar belakang yang hidup dalam
suasana harmoni.
"Pesta Kaamatan bukan sahaja
meraikan tradisi masyarakat Kadazan Dusun, Murut dan Rungus tetapi juga menjadi
platform untuk mengeratkan hubungan serta memupuk persefahaman antara kaum di
negeri ini,'' ujarnya.
Sambutan Pesta Kaamatan disambut
setiap tahun pada bulan Mei bagi menghargai musim menuai serta memelihara
warisan budaya masyarakat pribumi Sabah.
