Pemandu cuai punca insiden kereta api di Tenom - JKNS


KOTA KINABALU: Kecuaian pemandu dikenal pasti sebagai punca insiden perlanggaran membabitkan sebuah Railbus dengan motor troli di landasan kereta api berhampiran KM134/4, Tenom, pada 3 Mac lalu.

Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dalam kenyataan memaklumkan hasil siasatan dalaman melalui Board of Enquiry (BOE) yang dijalankan pada 9 Mac mendapati pemandu Railbus RB8801 gagal menjalankan pemeriksaan terhadap jentera sebelum memulakan perjalanan.

Menurut kenyataan itu, pemandu terbabit juga tidak menutup isolating valve pada Tenom End Driving Cab selain tidak menjalankan ujian dinamik bagi memastikan sistem brek berfungsi dengan baik.

“Keadaan itu menyebabkan sistem brek Railbus RB8801 tidak berfungsi sepenuhnya dan seterusnya mengakibatkan perlanggaran dengan motor troli di KM134/4,” menurut kenyataan berkenaan hari ini.

Difahamkan, selepas Railbus berhenti di KM133/8, pemandu terbabit melakukan pemeriksaan dan membetulkan kedudukan isolating valve sebelum ujian pandu dijalankan.

Hasil ujian mendapati sistem brek kembali berfungsi dengan baik dan Railbus berkenaan berjaya kembali ke Stesen Tenom tanpa memerlukan bantuan atau ditarik oleh jentera lain.

Pemeriksaan lanjut oleh Penolong Jurutera sebaik Railbus kembali ke stesen turut mengesahkan sistem brek jentera itu berada dalam keadaan baik.

Menurut JKNS, perkhidmatan kereta api kembali beroperasi seperti biasa pada 4 Mac menggunakan jentera yang sama dan sehingga kini Railbus RB8801 dilaporkan beroperasi tanpa sebarang masalah.

Katanya, siasatan BOE dijalankan secara menyeluruh termasuk meneliti laporan kejadian, keterangan kakitangan Bahagian Kejuruteraan Jentera, rakaman Digital Mobile Video Recorder (DMVR) serta pemeriksaan teknikal dan simulasi di lokasi kejadian.

"Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Siasatan Badan Penyiasatan Dalaman JKNS, tindakan tatatertib akan disyorkan terhadap pemandu terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PPPANS) 2008 [Tatakelakuan Perkara 208(2)(j)] kerana cuai dalam menjalankan tugas,” katanya.

Dalam masa sama, JKNS memaklumkan beberapa langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memperkukuh prosedur operasi dan meningkatkan tahap pematuhan terhadap aspek keselamatan.

Menurut kenyataan itu, keselamatan penumpang dan operasi kereta api sentiasa menjadi keutamaan jabatan berkenaan.

JKNS turut mengingatkan bahawa berdasarkan Enakmen Keretapi Negeri Sabah 2017, kawasan rezab kereta api adalah kawasan larangan dan sebarang aktiviti di landasan perlu mendapat kelulusan Menteri melalui syor Pengarah JKNS.

“Penggunaan motor troli yang dibina menggunakan motosikal di atas landasan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan kerosakan rel serta menjejaskan keselamatan operasi kereta api.

"Insiden perlanggaran berkenaan turut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada hari ini," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama