Ikrar Bebas Rasuah cerminkan komitmen kerajaan Sabah perkukuh integriti - Nizam

TAWAU: Pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh barisan Kabinet Negeri Sabah bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen sebenar kerajaan negeri dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus yang bersih.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata langkah itu membuktikan kesungguhan kepimpinan negeri bagi memastikan pentadbiran berjalan tanpa unsur rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata, komitmen berkenaan turut membabitkan tanggungjawab kolektif semua pihak termasuk menteri, pembantu menteri, setiausaha politik, penjawat awam dan kementerian untuk bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“IBR ini bukan sekadar lafaz ikrar atau tandatangan dokumen, tetapi satu komitmen menyeluruh yang perlu diterjemahkan dalam tindakan dan pelaksanaan tugas harian.

“Kita mahu setiap keputusan dan dasar yang dibuat bebas daripada unsur rasuah serta dilaksanakan dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab,” katanya ketika ditemui di sini.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, integriti perlu menjadi budaya dalam pentadbiran, bukan hanya slogan semata-mata.

Katanya, apabila amanah dilaksanakan dengan telus dan berakauntabiliti, pembangunan negeri dapat digerakkan dengan lebih teratur serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Rasuah bukan sahaja menjejaskan imej pentadbiran, malah boleh melambatkan pembangunan dan merugikan rakyat.

“Sebab itu komitmen ini perlu disokong semua pihak agar ia benar-benar memberi impak,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengetuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah yang membabitkan Ahli Jemaah Menteri Negeri di Menara Kinabalu sebagai simbol iltizam memperkukuh integriti pentadbiran Sabah.

Langkah itu dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan negeri memastikan pentadbiran yang bersih, telus dan berwibawa demi kemajuan Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama