Masjid UMS Sandakan Mercu Tanda Baharu Hab Pendidikan Batu 10, Sungai Batang

 

SANDAKAN : Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan bernilai RM5 juta kini menjadi mercu tanda baharu daerah ini dan menjadi satu lagi pencapaian penting pembangunan Hab Pendidikan di Batu 10, Sungai Batang.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan berkata, masjid yang mampu menampung sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa itu dibina hasil kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UMS.

''Ini dapat dilihat sebagai suatu peluang kerjasama antara UMS dan kerajaan negeri dari segi perkongsian ilmu pengetahuan, pemindahan kepakaran, memperkukuhkan aktiviti penyelidikan dan khidmat sosial yang lain yang pada akhirnya akan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Sabah khususnya penduduk Sandakan.

"Perkembangan ini adalah signifikan dan tepat pada masanya memandangkan Pusat Islam Sandakan yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri turut dibina di Kampung Sungai Kayu," katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Masjid UMS Sandakan dan Iftar Perdana UMS 2026, pada Selasa.

Perasmian masjid tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman merangkap Canselor UMS.

Menurut Rahman lagi, UMS melalui Pusat Islamnya juga dilantik sebagai Ejen Pungutan dan Agihan Zakat bagi Majlis Ugama Islam Sabah.

"Pelantikan ini memberikan manfaat yang amat besar kepada warga UMS tidak kira golongan pelajar mahupun kakitangan melalui pemberian pelbagai bantuan seperti elaun sara hidup, penyelesaian yuran pengajian, bantuan Ramadan, Aidilfitri dan sebagainya," ujarnya.

Hadir sama,Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Sulian; Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manila, Hazem Mubarak Tun Musa dan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama