SANDAKAN: Pembinaan Pusat Islam Sandakan di
Kampung Sungai Kayu kini mencapai 90 peratus kemajuan dengan struktur seni bina
luaran kompleks berkenaan hampir siap sepenuhnya.
Arkitek Projek Pusat Islam Sandakan, Mir Zafriz
Mior Zawar berkata ketika ini pihaknya memberi tumpuan kepada kerja-kerja
kemasan dalaman termasuk pemasangan jubin serta pemasangan Glass Fibre
Reinforced Concrete (GFRC) bagi reka bentuk geometri hiasan dalaman masjid.
"Kerja-kerja di bahagian luar terjejas
sedikit oleh faktor cuaca kerana sekurang-kurangnya tiga hari tanpa hujan
diperlukan untuk memastikan proses pembinaan berjalan dengan lancar.
"Pihak kontraktor juga telah diminta untuk
menambah bilangan pekerja di tapak binaan bagi memastikan baki kerja dapat
disiapkan mengikut spesifikasi dan tempoh yang ditetapkan," katanya ketika
menyampaikan taklimat sempena lawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa
Aman ke tapak pembinaan Pusat Islam Sandakan, pada Rabu.
Pusat Islam Sandakan dijangka siap pada
penghujung Mei 2026 namun pihak kontraktor berharap dapat menyiapkannya lebih
awal.
Selain berfungsi sebagai tempat ibadah, Pusat
Islam Sandakan direka bentuk sebagai pusat penyebaran syiar Islam dan penyatuan
ummah khususnya di daerah Sandakan.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai
Manila, Hazem Mubarak Tun Musa; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS),
Walter Kenson; Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd
Rakman.
