17 AJK Bersatu Tawau hilang percaya terhadap Muhyiddin, umum keluar parti serta-merta

TAWAU: Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus bergolak apabila 17 daripada 23 Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Tawau mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan presidennya, Muhyiddin Yassin.

Ketua Bahagian Bersatu Tawau, Lim Ting Khai berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas mengambil kira kemelut berpanjangan dalam parti serta kegagalan kepimpinan mengurus perbezaan pandangan secara matang.

Katanya, tindakan tertentu yang diambil kepimpinan tertinggi juga didakwa menjejaskan keyakinan ahli di peringkat akar umbi.

“Kami berpendirian bahawa situasi semasa parti tidak lagi mencerminkan semangat perjuangan asal serta gagal memulihkan keyakinan ahli di peringkat bahagian.

“Sehubungan itu, seramai 17 daripada 23 AJK Bahagian Bersatu Tawau sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Presiden parti,” katanya pada sidang media, semalam. 

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan bantahan keras terhadap pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang disifatkan tidak mencerminkan semangat demokrasi dalam parti.

Lim mendakwa tindakan berkenaan mengecewakan ramai kepimpinan dan ahli di seluruh negara serta memburukkan lagi perpecahan dalaman.

“Demi menjaga prinsip maruah dan integriti perjuangan, kami dengan ini mengumumkan keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa Jawatankuasa Bersatu Bahagian Tawau dibubarkan secara rasmi susulan keputusan berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu mencerminkan pendirian majoriti bahagian yang tidak lagi yakin terhadap hala tuju semasa parti.

“Perjuangan kami tidak akan terhenti di sini. Kami akan terus mempertahankan prinsip integriti, kestabilan dan kepimpinan yang diyakini demi masa depan ahli dan rakyat.

“Prinsip diutamakan, perjuangan diteruskan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama