Marché KK bakal buka peluang pekerjaan belia di Sabah

Nizam (tengah) memberi penghargaan kepada pihak Arena Borneo Sdn Bhd pada Majlis Pratonton Marche, hari ini.

KOTA KINABALU: Projek pembangunan gaya hidup terbaharu, Marché Kota Kinabalu (Marché KK) dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia serta usahawan di Sabah.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, projek berkonsep pusat beli-belah gaya hidup terbuka itu bukan sekadar pembangunan komersial, sebaliknya dirancang sebagai ruang inklusif yang memberi manfaat kepada komuniti.

“Marché KK mencerminkan keyakinan tinggi terhadap potensi Kota Kinabalu dan Sabah yang terus berkembang, khususnya dalam aspek pembangunan bandar yang lebih terancang dan berimpak tinggi.

“Projek ini bukan sahaja memberi nilai dari sudut ekonomi, tetapi turut menekankan elemen mesra komuniti serta berorientasikan manusia, selari dengan keperluan gaya hidup moden masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Acara Pratonton Eksklusif Marché Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Menurutnya, pembangunan itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan yang signifikan sama ada dalam fasa pembinaan mahupun operasi jangka panjang.

Katanya, Marché KK turut membuka ruang kepada usahawan tempatan, khususnya golongan belia dan syarikat pemula untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam persekitaran yang lebih kompetitif.

“Ini termasuk peluang kepada jenama tempatan dan perusahaan kreatif untuk berkembang, sekali gus memperkukuh ekosistem ekonomi tempatan melalui penglibatan pembekal serta penyedia perkhidmatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita, beliau berkata inisiatif pembangunan seumpama itu turut mendapat sokongan kerajaan kerana diyakini mampu meningkatkan daya tarikan negeri ini kepada pelawat luar, di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Projek ini dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada Jun 2026, dengan pembangunan dilaksanakan secara berfasa,” tambahnya.

Marche KK merupakan sebuah projek pembangunan yang bakal menjadi pusat beli-belah gaya hidup berkonsep terbuka yang pertama di Kota Kinabalu bagi melambangkan keyakinan terhadap potensi Sabah yang semakin berkembang serta keupayaan pembangunan yang terancang dan berwawasan untuk manfaat komuniti setempat.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama