KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius pengumuman kadar tambang siling baharu bas dan van persiaran oleh Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) yang berkuat kuasa serta-merta.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, walaupun kerajaan memahami tekanan kos susulan kenaikan harga diesel, semua pihak perlu memastikan sebarang tindakan yang diambil mematuhi kerangka perundangan sedia ada.
Menurutnya, sebarang bentuk perjanjian atau keputusan bersama oleh persatuan berkaitan dalam menetapkan harga, termasuk tambang minimum atau siling, adalah dilarang kerana mengandungi elemen kartel.
“Penetapan harga secara bersama boleh menjejaskan pasaran pelancongan negara dan memberi kesan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia sedang meneliti tindakan persatuan terbabit di bawah Seksyen 4(2)(a), Akta Persaingan 2010.
Terdahulu, MITA mengumumkan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran sebagai langkah jangka pendek bagi membantu pengusaha menampung peningkatan kos operasi.
Antara kadar ditetapkan termasuk sehingga RM1,100 bagi siri lawatan bas dan antara RM1,900 hingga RM2,200 untuk lawatan harian domestik, manakala sewaan van pula sehingga RM900.
Mengulas lanjut, Armizan menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang persaingan.
Beliau berkata, tindakan tegas boleh diambil sekiranya terdapat bukti wujudnya pakatan harga yang menjejaskan industri dan pengguna.
