![]() |
| Arifin ketika ditemui pemberita di Masjid Negeri Sabah, di sini, awal pagi Rabu. |
KOTA KINABALU: Sebanyak 1,500 Bakul Ihsan Sahur (BIS) diagihkan kepada petugas barisan hadapan di lebih 14 lokasi sekitar bandar raya ini dalam usaha menyemarakkan amalan bersahur pada penghujung Ramadan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program itu telah melibatkan agihan kepada beberapa lokasi termasuk Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Balai Bomba Lintas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1.
![]() |
| Arifin ketika mengagihkan BIS di Balai Bomba Lintas, di sini. |
“Alhamdulillah, malam ini kita melaksanakan agihan Bingkisan Ihsan Sahur kepada lebih 14 tempat termasuk hospital, IPD dan bomba dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,500 pek makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum mengagihkan bakul makanan kepada petugas barisan hadapan yang bermula di Masjid Negeri Sabah, di sini, awal pagi Rabu.
Katanya, inisiatif itu merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pertubuhan Belia Negeri Sabah (PBNS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta agensi di bawah kementeriannya.
![]() |
| Arifin (lima dari kanan) menyantuni pegawai kesihatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas. |
“Ini adalah usaha bersama bagi mengukuhkan muafakat dan semangat kebersamaan antara agensi, di samping mendekati organisasi yang kita kunjungi,” jelasnya.
Tambah beliau, program tersebut dilaksanakan menggunakan tiga pasukan yang digerakkan serentak bagi memastikan agihan berjalan lancar ke semua lokasi terlibat.
Beliau turut memaklumkan bahawa program berkenaan yang berskala besar itu adalah julung kali diadakan, selepas penganjuran ziarah sahur dilaksanakan di Pulau Gaya, baru-baru ini.
“Diharapkan program seperti ini membawa keberkatan dalam bulan Ramadan serta memperkukuh hubungan antara agensi dan masyarakat,” tambah beliau.
![]() |
| Arifin (tengah) bergambar kenangan bersama barisan pegawai polis Sabah di IPK, di sini. |
Sementara itu, para petugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menzahirkan rasa terima kasih atas sumbangan BIS yang diagihkan kepada mereka dalam program awal pagi tadi.
Timbalan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK Sabah, Ku Azam Ku Abdullah berkata, sumbangan tersebut amat bermakna khususnya kepada anggota yang bertugas sepanjang masa.
“Kami daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPK Sabah mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri atas sumbangan program sahur ini.
“Kami amat berbesar hati dan menghargainya, khususnya kepada semua anggota kami yang bertugas selama 24 jam,” ujarnya.



