Jurang pencapaian SPM bandar dan luar bandar di Sabah semakin mengecil

KOTA KINABALU: Jurang pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara bandar dan luar bandar di Sabah terus menunjukkan trend positif apabila semakin mengecil dalam keputusan SPM 2025.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, berdasarkan nilai Gred Purata Negeri (GPN), jurang pencapaian antara kedua-dua kategori itu mengecil sebanyak 0.50 mata.

Katanya, GPN calon di bandar mencatatkan 4.53 mata bagi SPM 2025 berbanding 4.65 mata pada tahun sebelumnya, manakala calon luar bandar pula mencatatkan 5.03 mata berbanding 5.21 mata pada SPM 2024.

“Perkembangan ini menunjukkan usaha berterusan dalam merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar semakin berhasil,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Mohamad Ali, Ranau, hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan, Sabah turut merekodkan pencapaian lebih baik apabila GPN negeri meningkat kepada 4.85 mata berbanding 5.00 mata pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang semua A+ menurun kepada tiga orang berbanding enam orang pada SPM 2024.

Bagaimanapun, katanya, calon yang memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- meningkat kepada 605 orang berbanding 580 orang tahun lalu.

“Selain itu, calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 6,150 orang berbanding 3,437 orang sebelum ini.

“Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus pula seramai 14,533 orang, meningkat 1.60 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Raisin berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan sistem pendidikan lebih inklusif dan seimbang.

Katanya, pihaknya akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif pendidikan bagi memastikan semua calon, tanpa mengira lokasi, mendapat peluang sama rata untuk berjaya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama