![]() |
| Armizan ketika menyantuni petugas hadapan di sini, pada Rabu. |
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama rakan strategik melaksanakan Program Santuni Komuniti Ihsan Food Bank dalam usaha menyantuni petugas barisan hadapan serta mendekati golongan gelandangan di sekitar ibu kota.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program itu dilaksanakan bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam memperluaskan pelaksanaan Inisiatif i-FB.
“Antara rakan strategik yang terlibat ialah Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, World Trade Centre Kuala Lumpur, Mamee-Double Decker, QSR Brands, F&N Beverages Marketing, Kechara Soup Kitchen, The Lost Food Project dan ReMeal,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Melalui program berkenaan, sumbangan pek makanan seperti makanan retort, makanan dalam tin dan barangan makanan kering diagihkan kepada petugas barisan hadapan.
“Sumbangan itu sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Balai Bomba dan Penyelamat Sentul serta anggota Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang sentiasa bertugas demi keselamatan rakyat,” jelasnya.
Sementara itu, program berkenaan turut menyantuni golongan gelandangan dengan mengagihkan bekalan makanan kepada komuniti terbabit, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Dalam pada itu, KPDN turut memperluaskan Program Inkubator Ihsan Food Bank yang memberi tumpuan kepada penghasilan makanan retort berbentuk sedia dimakan (ready-to-eat) melalui kerjasama strategik bersama rakan industri.
Melalui program tersebut, KPDN menyediakan kemudahan mesin retort kepada rakan strategik bagi membolehkan lebihan makanan yang masih selamat diproses dan disimpan sebagai produk makanan tahan lama.
“Pendekatan itu bukan sahaja membantu memanjangkan jangka hayat makanan, malah memastikan lebihan makanan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.
“Sebanyak 14 mesin retort telah disediakan KPDN dan diagihkan kepada rakan strategik termasuk Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, Le Méridien Putrajaya, Marriott Putrajaya serta Politeknik Sultan Idris Shah di Sabak Bernam,” katanya.
Katanya, sepanjang Ramadan ini Inisiatif i-FB turut melaksanakan Program Selamatkan Makanan Bazar Ramadan di seluruh negara dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Gerakan Pengguna Siswa.
Menurut statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 4,000 tan metrik mempunyai potensi untuk diselamatkan dan dimanfaatkan dengan lebih optimum,” ujar beliau.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) yang dilaksanakan sebagai langkah menangani kos sara hidup melalui tiga komponen utama iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
