Kota Marudu, Paitan dan Pitas diisytihar bencana banjir

IHSAN: APM Paitan dan Kota Marudu. 

KOTA KINABALU: Hujan berterusan mengakibatkan situasi banjir di utara Sabah semakin membimbangkan apabila tiga daerah iaitu Kota Marudu, Paitan dan Pitas secara rasmi diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir hari ini.

Pengisytiharan pertama dibuat oleh Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara bagi daerah Kota Marudu pada jam 10 pagi.

“Banjir yang berlaku telah menyebabkan beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi ‘hotspot’ mula terjejas,” katanya dalam satu kenyataan APM Sabah, hari ini.

Susulan itu, beliau mengarahkan supaya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka bagi menyelaras operasi pemantauan serta tindakan oleh agensi berkaitan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Paitan, Joloning Joe Majambu turut mengisytiharkan bencana banjir di daerah berkenaan pada jam 11 pagi tadi.

“Berdasarkan maklumat di lapangan serta laporan yang diterima daripada agensi tindak balas JPBD, saya mengisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Paitan selepas beberapa kawasan mula terjejas akibat banjir,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Pitas, Mohd Faizal Hussin turut mengisytiharkan bencana banjir di daerah berkenaan pada jam dua petang hari ini.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama