Mengapa sekadar gantung, jika bersalah pecat saja – Ronald

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mempersoalkan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang hanya menggantung keahliannya selama dua penggal pemilihan parti, walaupun beliau didakwa melakukan kesalahan serius.

Menurutnya, sekiranya benar dirinya bersalah seperti yang didakwa oleh Lembaga Disiplin parti, tindakan lebih tegas seperti pemecatan sepatutnya diambil.

“Jika benar saya bersalah besar, pecat sahaja. Mengapa sekadar digantung?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, BERSATU menggantung keahlian Ronald selama dua penggal pemilihan selepas mesyuarat Lembaga Disiplin parti pada 9 Mac lalu mendapati beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti.

Susulan penggantungan itu, beliau dilucutkan semua jawatan dalam parti dan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama BERSATU sepanjang tempoh penggantungan.

Mengulas lanjut, Ronald berkata keputusan tersebut menimbulkan persepsi bahawa Lembaga Disiplin parti kini digunakan sebagai alat politik bagi melindungi presiden dan kelompok kecil di sekelilingnya.

Beliau turut mempersoalkan kedudukan lembaga berkenaan yang dipengerusikan individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan kepimpinan tertinggi parti.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, hala tuju parti semakin jelas tersasar apabila segala tindakan seolah-olah tertumpu kepada satu matlamat, iaitu mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai poster boy dan calon Perdana Menteri ke-11.

“Sesiapa yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda ini akan disingkirkan dan Lembaga Disiplin dijadikan alat paling ampuh untuk melaksanakan tindakan tersebut,” katanya.

Ronald turut mendakwa keadaan sama pernah berlaku terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, keadaan itu akhirnya menyebabkan hanya individu yang sentiasa menyokong presiden kekal dalam parti.

“Wujud puak ‘ya-presiden’ kerana sebahagian mereka dilantik oleh presiden, sebahagian lagi kalah dalam pemilihan tetapi dimenangkan oleh presiden dan ada juga yang dijanjikan watikah calon.

“Dalam keadaan itu, kesetiaan menjadi wajib,” katanya.

Ronald berkata beliau menyertai parti itu suatu ketika dahulu kerana percaya ia adalah wadah perjuangan, bukannya alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.

Bagaimanapun katanya, keadaan yang berlaku ketika ini jauh menyimpang daripada semangat asal penubuhan parti.

“Saya tidak akan merayu. Anggap sahaja tempoh rayuan ini telah tamat. Period,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama