Jawatankuasa khas pantau kemunculan buaya di sekitar Kota Kinabalu - Sabin Samitah

Sabin Samitah ketika ditemui pemberita di Menara Kinabalu, di sini, hari ini. 


KOTA KINABALU: Sebuah jawatankuasa khas ditubuh di peringkat daerah bagi memantau isu kemunculan buaya yang tular di sekitar kawasan pantai Tanjung Aru, baru-baru ini.

Datuk Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata jawatankuasa itu dianggotai oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama beberapa agensi berkaitan. 

“Mesyuarat penyelarasan diadakan setiap tiga bulan untuk menilai situasi semasa dan juga merancang operasi pemantauan yang turut dijalankan secara berkala dalam tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kuih Muih kepada Anggota Petugas Barisan Hadapan Sabah di Menara Kinabalu, di sini.

Menurutnya, sekiranya pihak berkuasa menerima laporan daripada orang awam berkaitan kehadiran buaya, pasukan terlibat akan terus ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan serta tindakan sewajarnya.

“Biasanya pasukan PERHILITAN akan membawa peralatan dan senjata yang diperlukan untuk menangkap atau melupuskan haiwan berkenaan sekiranya keadaan memerlukan,” jelasnya.

Tambah beliau, secara purata pihaknya menerima kira-kira satu laporan berkaitan kemunculan buaya setiap bulan.

Katanya, situasi itu sebenarnya telah dikesan sejak tahun 2024, namun kebelakangan ini laporan penampakan buaya dilihat sedikit meningkat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan masih terkawal dan tidak membimbangkan kerana pemantauan berterusan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Pihak kami ada buat banyak pemasangan papan amaran supaya para pengunjung yang pergi berdekatan dengan kawasan berisiko di laut itu, mereka akan lebih berhati-hati dengan keadaan itu.

“Kalau di pantai Tanjung aru, biasanya apa ni, jabatan mereka akan pasang bendera merah,” tambahnya.

Beliau berkata pihaknya juga akan meneliti cadangan untuk memastikan pelancong memahami maksud bendera merah yang dipasang di kawasan pantai.

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Kinabalu dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan kemunculan seekor buaya dilihat sedang berenang pada jarak kira-kira 100 meter dari Menara Penyelamat Pantai Tanjung Aru, di sini, Ahad lalu.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama