Kerajaan kekal harga RON95 RM1.99 seliter, antara harga petrol termurah di dunia - PMX

Anwar (tengah) bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tiga dari kiri) ketika merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan di sini, hari ini. 

KOTA KINABALU: Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bagi memastikan rakyat terus menikmati harga minyak yang rendah dan stabil.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar tersebut antara yang terendah di dunia selain negara Brunei yang mempunyai harga minyak yang sedikit murah berbanding Malaysia. 


Menurutnya, keputusan mengekalkan harga RON95 itu bagaimanapun melibatkan komitmen subsidi yang besar oleh kerajaan.


“Dengan mengekalkan harga pada RM1.99 seliter, subsidi kerajaan bagi program BUDI95 meningkat daripada sekitar RM0.3 bilion kepada kira-kira RM2 bilion sebulan.


“Jika harga semasa kekal, jumlah subsidi yang perlu ditanggung kerajaan mencecah sehingga RM24 bilion setahun.


“Kita boleh bandingkan harga minyak di negara lain seperti di Singapura yang kini melebihi RM10 seliter, sedangkan di Malaysia kita kekalkan harga RON95 pada RM1.99.


“Hampir semua negara di ASEAN telah menaikkan harga minyak, tetapi kita masih mengekalkan harga RM1.99 demi kepentingan rakyat,” katanya. 


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Pengguna Kebangsaan yang bertempat di Pusat Beli Belah Suria Sabah, di sini, hari ini. 


Sementara itu, kerajaan turut menanggung subsidi besar bagi mengekalkan harga diesel di Sabah dan Sarawak.


Menurut Anwar, subsidi diesel di kedua-dua negeri itu bagi tahun 2025 dianggarkan sebanyak RM2 bilion.


“Bagi diesel pula, ia sedikit berbeza kerana penggunaannya sangat meluas, khususnya di kawasan seperti Tawau dan daerah-daerah lain yang banyak bergantung kepada diesel.


“Jika harga diesel dinaikkan, ia akan memberi kesan besar kepada rakyat dan aktiviti ekonomi, sebab itu kerajaan perlu meneliti perkara ini dengan sangat berhati-hati,” jelasnya. 


Bagaimanapun katanya, susulan kenaikan harga minyak dunia, jumlah subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak dijangka meningkat kepada sekitar RM4.6 bilion pada tahun 2026 sekiranya harga semasa kekal.


“Kerajaan telah memutuskan untuk mengekalkan harga runcit diesel di stesen minyak di Sabah dan Sarawak pada kadar RM2.15 seliter buat masa ini.


“Kos sebenar diesel telah mencecah sekitar RM4.30 seliter, bermakna pengguna di Sabah dan Sarawak hanya membayar kira-kira separuh daripada kos sebenar manakala baki selebihnya ditanggung oleh kerajaan,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama