Akta Sewa Beli Pindaan 2026 berkuat kuasa 1 Jun

Armizan (tengah) ketika ditemui pemberita pada sidang media Hari Pengguna Kebangsaan, di sini, hari ini.


KOTA KINABALU: Pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun ini bagi memastikan transaksi sewa beli di negara ini menjadi lebih telus dan adil kepada pengguna.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata, pindaan tersebut merupakan antara reformasi undang-undang yang dilaksanakan kerajaan.


Perkara ini termasuklah penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025(Akta 873) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 8 Oktober 2025 dan Dewan Negara pada 1 Disember 2025. 


“Pindaan Akta Sewa Beli 2026 ini telah diwartakan pada 30 Januari lalu dan akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun ini. 


“Pindaan itu turut memansuhkan penggunaan kaedah kadar faedah tetap sama (flat rate) serta kaedah Rule of 78 yang sebelum ini digunakan dalam pengiraan pinjaman sewa beli.


“Di bawah kerangka baharu ini, kita memperkenalkan kaedah reducing balance method dan kadar faedah efektif bagi memastikan pengiraan pinjaman lebih adil kepada pengguna.


“Melalui kaedah ini, bayaran ansuran sejak peringkat awal akan mengambil kira pembayaran kepada prinsipal dan faedah secara seimbang, berbanding kaedah lama yang lebih tertumpu kepada pembayaran faedah pada awal tempoh pinjaman,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 yang bertempat di Pusat Beli Belah Suria Sabah, di sini, hari ini. 


Armizan berkata, pendekatan baharu itu akan memberi manfaat khususnya kepada pengguna yang membuat penyelesaian awal pinjaman kerana baki prinsipal akan berkurangan dengan lebih cepat berbanding kaedah lama.


Menurutnya, pindaan berkenaan turut menyokong transformasi digital dalam transaksi sewa beli termasuk membenarkan penggunaan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik.


“Pada masa sama kita masih memberi tempoh peralihan kepada penyedia kemudahan kredit sehingga 31 Mac 2027 sebelum pelaksanaan baharu ini diwajibkan sepenuhnya,” jelasnya. 


Menurut beliau, tempoh peralihan itu dipendekkan berbanding cadangan awal 18 bulan selepas mengambil kira pandangan Ahli Parlimen serta desakan pertubuhan pengguna yang mahu undang-undang tersebut dilaksanakan lebih awal.


Dalam pada itu, Armizan berkata kerajaan turut melaksanakan beberapa pembaharuan lain berkaitan hak pengguna termasuk pengumuman Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) pada bulan Disember 2025, institusi perbankan juga menawarkan diskaun ihsan atau goodwill discount bermula pada tarikh kuat kuasa Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, iaitu 1 Jun 2026.


“Diskaun ini akan diberikan kepada pelanggan di bawah kaedah lama, iaitu kadar faedah sama rata dan peraturan 78, yang memilih untuk membuat penyelesaian awal, bagi memastikan baki tertunggak mereka setara dengan pelanggan yang memasuki perjanjian baharu, iaitu berasaskan Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki, di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama