PM umum cuti tambahan Aidilfitri untuk rakyat

Anwar ketika berucap pada Hari Pengguna Kebangsaan yang bertempat di Pusat Beli Belah Suria Sabah, di sini, hari ini.


KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba nanti. 


Menurutnya, sekiranya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat (20 Mac), kerajaan akan memberikan cuti tambahan pada hari Isnin, 23 Mac ini. 


“Jika Hari Raya jatuh pada hari Sabtu (21 Mac) pula, cuti tambahan akan diberikan pada hari Jumaat iaitu 20 Mac ini,” katanya ketika berucap pada Hari Pengguna Kebangsaan tahun ini yang bertempat di Pusat Beli Belah Suria Sabah, di sini, pada Sabtu. 


Anwar berkata, pemberian cuti tambahan itu adalah sebagai ganjaran kepada rakyat yang telah menunjukkan dedikasi dan komitmen tinggi sepanjang Ramadan.


“Kerajaan anggap semua orang bekerja kuat sepanjang bulan Ramadan ini, dengan usaha tambahan dan dedikasi yang tinggi, jadi kita beri cuti tambahan sebagai sebuah penghargaan,” jelasnya. 


Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam khususnya pegawai dan anggota penguat kuasa yang bertugas memantau bekalan serta harga barangan menjelang musim perayaan.


Katanya, tugas mereka menjadi lebih mencabar ketika musim perayaan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi serta harga barangan tidak meningkat secara melampau.


“Bila musim perayaan, mereka perlu memantau di setiap daerah untuk memastikan bekalan seperti ayam dan telur mencukupi serta harga tidak melonjak.


“Ucaplah terima kasih kepada mereka yang telah berkhidmat untuk rakyat,” ujarnya. 


Sementara itu, Anwar berkata kerajaan turut melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2026 bagi mengawal harga barangan keperluan sepanjang musim perayaan.


“Skim itu dilaksanakan selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac 2026,” katanya. 


Di bawah skim berkenaan, sebanyak 24 jenis barangan dikawal di Semenanjung, 23 jenis di Sabah dan Sarawak serta 22 jenis di Wilayah Persekutuan Labuan.


“Antara barangan yang sedang dipantau ketika ini ialah harga cili merah yang menunjukkan peningkatan disebabkan faktor bekalan import.


“Jika harga cili merah meningkat sedikit, kita boleh menggunakan alternatif seperti cili kering,” tambah beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama