KOTA KINABALU : Amanah Raya
Berhad (AmanahRaya) merancang memperluaskan operasi secara berperingkat melalui
penubuhan pejabat satelit di beberapa kawasan utama di Sabah termasuk Tawau,
Sandakan dan Lahad Datu.
Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan
AmanahRaya, Jack Yap Ngee Heong berkata, melalui konsep pejabat satelit itu
kakitangan AmanahRaya akan dihantar secara berkala ke kawasan berkenaan bagi
mengendalikan kes, mengumpul dokumen serta mengadakan taklimat dan program
kesedaran kepada masyarakat.
"Perancangan peluasan ini
bukan sahaja untuk tahun ini, sebaliknya merupakan komitmen jangka masa tiga
tahun yang telah bermula sejak tahun lalu.
"Sasaran pihak AmanahRaya
adalah untuk memastikan menjelang 2027 perkhidmatan kami dapat diakses di empat
penjuru utama Sabah," katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat
kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Isnin.
Kunjungan tersebut bertujuan
memaklumkan perkembangan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh AmanahRaya
sepanjang tahun lalu selain berkongsi perancangan yang akan dilaksanakan pada
masa hadapan.
Menurut Jack Yap, pihaknya kini
sedang melaksanakan kempen peringkat nasional yang dikenali sebagai Kempen Bina
Legasi bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan perancangan
pewarisan.
"Melalui kempen ini,
AmanahRaya memberi penerangan mengenai pengurusan harta pusaka, menawarkan
promosi dan potongan harga sehingga sekitar 20 peratus bagi beberapa produk
seperti penyediaan wasiat, hibah, pentadbiran pusaka termasuk diskaun bagi yuran
guaman untuk produk amanah terpilih.
"Kempen Bina Legasi bagi
tahun ini telah dilancarkan pada 1 Mac lalu dan akan berlangsung sehingga 30
April.
"Lazimnya,AmanahRaya
melaksanakan kempen promosi seperti ini sebanyak dua kali setahun bagi
menggalakkan lebih ramai masyarakat merancang pengurusan harta mereka lebih
awal," ujarnya.
Orang ramai yang berminat membuat
perancangan pewarisan disaran mengambil peluang tersebut terutama menjelang
sambutan Hari Raya Aidilfitri, apabila kebanyakan ahli keluarga berkumpul dan
boleh berbincang mengenai perkara berkenaan.
Mereka yang berada di luar Kota
Kinabalu boleh menghubungi talian hotline 03- 8600 8950 dan layari
www.amanahraya.my untuk membuat temujanji.
