KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini diseru agar terus memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menegaskan bahawa Aidilfitri merupakan hari kemenangan selepas umat Islam melalui bulan Ramadan dengan penuh kesabaran dan keinsafan.
Menurutnya, perayaan tersebut bukan sekadar disambut dengan kemeriahan, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk mengeratkan silaturahim, saling bermaafan serta memperkukuh hubungan kekeluargaan dan masyarakat.
“Marilah kita terus mengekalkan nilai-nilai murni yang telah dipupuk sepanjang Ramadan seperti keikhlasan, kesabaran dan semangat saling membantu dalam kehidupan seharian,” katanya dalam perutusan Aidilfitri, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk penjawat awam, sektor swasta serta petugas barisan hadapan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.
Katanya, segala usaha dan komitmen tersebut selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang menekankan pembangunan inklusif serta kemajuan ekonomi secara mampan.
Beliau dalam masa sama mengingatkan agar masyarakat tidak melupakan golongan kurang bernasib baik dengan menghulurkan bantuan supaya kegembiraan Syawal dapat dirasai bersama.
Masidi turut mendoakan agar seluruh rakyat Sabah sentiasa berada di bawah lindungan rahmat Allah SWT serta terus hidup dalam suasana harmoni, aman dan makmur.
