KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan bahawa entiti yang menggunakan nama 'Suara Mahasiswa UMS' tidak mempunyai sebarang kaitan rasmi dengan universiti berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, UMS memaklumkan pihaknya mengambil perhatian terhadap beberapa hantaran tular di media sosial oleh entiti tersebut, termasuk dakwaan berkaitan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut kenyataan itu, 'Suara Mahasiswa UMS' bukan merupakan entiti berdaftar di bawah universiti, sekali gus menjadikan sebarang kenyataan atau komentar yang dikemukakan tidak mewakili pendirian rasmi UMS.
“Sehubungan itu, UMS ingin menegaskan bahawa pandangan yang disuarakan oleh pihak berkenaan adalah di luar tanggungjawab universiti,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, UMS memandang serius tindakan pihak terbabit yang didakwa menggunakan logo rasmi universiti tanpa kebenaran.
Jelas UMS, perbuatan tersebut adalah tidak sah dan boleh mengelirukan orang ramai.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih, selain mengelakkan sebarang kekeliruan.
