81 PATI ditahan dalam Ops JIM Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 81 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu dan Sipitang.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tangkapan itu dibuat menerusi Ops Sapu, Ops Mahir dan Ops Belanja yang dilaksanakan bagi mengesan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen negara.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan seramai 202 individu telah diperiksa sebelum 81 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Daripada jumlah yang ditahan, seramai 74 adalah warga Filipina terdiri daripada 27 lelaki dewasa, 22 wanita dewasa, 10 kanak-kanak lelaki dan 15 kanak-kanak perempuan.

“Turut ditahan ialah lima warga Indonesia iaitu tiga lelaki dewasa dan dua wanita dewasa serta dua lelaki dewasa warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta berkenaan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Katanya, semua warga asing yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum tindakan selanjutnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“Saya ingin menegaskan bahawa JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen negara.

“Tindakan ini penting bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama