![]() |
| IHSAN: Bomba Sandakan. |
SANDAKAN: Sebuah gudang penyimpanan sabut kelapa sawit di Kilang IOI Edible Oils Sdn Bhd di sini terbakar kira-kira 40 peratus dalam kejadian awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.46 pagi sebelum anggota digerakkan ke lokasi kira-kira 22 minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah gudang jenis kekal yang mempunyai tiga blok bangunan, masing-masing berkeluasan kira-kira 90 kaki x 100 kaki persegi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati satu blok bangunan terbakar kira-kira 40 peratus manakala dua blok lagi berjaya diselamatkan daripada terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.40 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya yang wujud.
