KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya
Kota Kinabalu (DBKK) mempergiat operasi pemantauan bazar Ramadan bagi
memastikan tahap kebersihan, keselamatan makanan dan pengurusan sisa mematuhi
peraturan ditetapkan.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu,
Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata pemeriksaan harian dilakukan secara
menyeluruh oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan serta
Jabatan Penguatkuasaan DBKK termasuk di bazar kendalian persatuan dalam pentadbiran
pihak berkuasa tempatan itu.
"Selain tahap kebersihan,
kita juga melihat dan memeriksa sama ada mereka yang terlibat dalam penyediaan
makanan ini telahpun mendapat suntikan yang diperlukan untuk peniaga makanan.
"DBKK turut memeriksa
makanan yang mereka jual, pastikan ada penutup dan makanan tidak basi.
"Kita juga memantau peniaga
yang membuat live cooking bagi memastikan minyak masak yang digunakan tidak
dibuang sewenang-wenangnya ke dalam longkang berhampiran.
"Ini antara tindakan yang
diambil DBKK bagi memastikan makanan yang dijual mengikut tahap kesihatan yang
ditetapkan," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa
Bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan Isteri, Toh
Puan Faridah Tussin, pada Isnin.
Majlis tersebut dihadiri 700
warga DBKK dan DBKK Holding serta 300 jemputan daripada kerajaan negeri,
persekutuan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada majlis tersebut, seramai 10
anak yatim, 10 golongan asnaf dan lima masjid dari sekitar Kota Kinabalu
menerima sumbangan wang tunai, baju dan keperluan masjid daripada DBKK.
Sabin berharap sumbangan tersebut
dapat meringankan beban penerima dan membantu mereka membuat persiapan lebih
baik menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk
Seri Panglima Hajiji Noor; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan
Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pembantu Menteri di Jabatan
Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Menteri Bertanggungjawab
Kepada DBKK.
