Orang Ramai Dijemput Hadir Program Simfoni Ramadan 15 Mac Ini

 

KOTA KINABALU : Orang ramai dijemput menghadiri Program Simfoni Ramadan 2026 yang akan berlangsung di Stadium Likas bermula jam 4.00 petang pada 15 Mac ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad berkata program itu menyasarkan kehadiran 1,500 pengunjung dan menampilkan pendekatan dakwah lebih segar serta kreatif khususnya bagi mendekati golongan belia.

"Kita menampilkan penceramah dan pendakwah terkenal dari Semenanjung seperti Ustaz Hariri Daud dan Ustaz Nabil Ahmad selain barisan penceramah tempatan dari Sabah.

“Simfoni Ramadan merupakan cetusan idea awal belia USIA Sandakan yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Jazz Ramadhan’ dan telah dianjurkan selama dua tahun di daerah berkenaan.

"Melihat sambutan yang amat menggalakkan, program ini diangkat ke peringkat negeri dengan penjenamaan semula supaya lebih selari dengan aspirasi dan pendekatan semasa,"  katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat akhir Simfoni Ramadan, pada Isnin.

Menurut beliau, acara turut dimeriahkan dengan persembahan Hafiz Hamidun, kumpulan nasyid dan buskers tempatan yang membawakan lagu-lagu berunsur dakwah.

Di samping itu, program gotong-royong memasak dan pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai akan diadakan dengan kerjasama beberapa agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Lembaga Tabung Haji, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Negeri Sabah dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM).

Tambah beliau, tarikan lain termasuk food truck yang membolehkan pengunjung membeli juadah berbuka puasa sambil menanti masuknya waktu Maghrib dan solat Tarawih diiringi dengan persembahan seni dan ceramah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama