![]() |
| Foto Ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU: Galeri Polis Negeri Sabah yang dirasmikan bersempena sambutan Hari Polis ke-219 menjadi simbol penting dalam memelihara sejarah serta menghargai pengorbanan anggota keselamatan di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata galeri tersebut bukan sahaja memaparkan sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah, malah berfungsi sebagai platform penceritaan yang merakam perjalanan serta jasa anggota polis sejak penubuhannya.
“Setiap artifak dan naratif yang dipamerkan merupakan testimoni kepada pengorbanan wira 'sang saka biru’ dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri terus terpelihara,” katanya dalam majlis perasmian galeri berkenaan.
Menurut beliau, idea penubuhan galeri itu telah dicetuskan sejak 2018, namun pelaksanaannya tertangguh susulan pandemik COVID-19 sebelum diteruskan semula dengan komitmen berterusan pelbagai pihak.
Katanya, kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, telah meluluskan peruntukan awal RM1.15 juta pada 2022 bagi pembinaan galeri serta tugu peringatan Ops Daulat di Lahad Datu.
“Seterusnya pada penghujung 2023, tambahan RM2.5 juta diluluskan, termasuk RM2 juta untuk kelengkapan galeri dan RM500,000 bagi pembinaan tugu Ops Daulat sebagai mercu tanda keberanian wira negara,” jelasnya.
Jauteh berkata, antara keistimewaan galeri itu ialah penyimpanan artifak berkaitan Ops Daulat yang mempunyai nilai sejarah tinggi khususnya kepada rakyat Sabah.
Beliau menegaskan keputusan mengekalkan artifak tersebut di negeri ini adalah penting bagi memastikan generasi akan datang dapat memahami dan menghayati sejarah perjuangan mempertahankan kedaulatan Sabah.
“Peristiwa ini berlaku di bumi Sabah dan pengorbanan wira kita juga di sini, maka bahan sejarah ini wajar kekal sebagai warisan negeri,” ujar beliau.
Galeri Polis Negeri Sabah kini diletakkan di bawah seliaan Muzium Kepolisan PDRM bagi memastikan pengurusan, pemeliharaan artifak dan dokumentasi dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Semoga galeri ini menjadi warisan yang dihargai oleh generasi akan datang,” tambahnya.
