Cubaan tipu penguatkuasa gagal, 9,000 liter diesel subsidi dirampas

LAHAD DATU: Cubaan seorang lelaki mengaburi mata penguatkuasa untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) menahannya bersama sebuah lori tangki dalam serbuan di sebuah stesen minyak di sini, malam tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu dijalankan hasil maklumat awam mengenai aktiviti penyelewengan diesel subsidi.

Menurutnya, lelaki terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika mengisi minyak diesel ke dalam tangki asal lori rigid tangki jenis Nissan berwarna hitam putih dengan jalur kuning.

“Hasil pemeriksaan mendapati tangki asal lori telah diubah suai dengan pemasangan pam serta menggunakan satu gulung hos, dipercayai untuk memindahkan minyak diesel ke dalam tangki muatan. 

“Modus operandi ini jelas bertujuan menyeleweng diesel subsidi dan cuba mengaburi penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Amri berkata, jumlah minyak diesel yang diisi ke dalam tangki asal lori itu mencecah 9,000 liter, melebihi had yang dibenarkan pihak berkuasa. 

“Suspek warga tempatan terbabit ditahan bagi membantu siasatan manakala lori, minyak diesel dan peralatan yang digunakan turut dirampas.

“Kesemua rampasan yang dianggarkan bernilai dianggarkan RM519,500 diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962.

“PPM Sabah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan. 

“Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama