Dua lelaki ditahan cuba seludup 1,530 peket minyak masak di Semporna

SEMPORNA: Dua lelaki ditahan selepas cubaan mereka menyeludup 1,530 peket minyak masak bersubsidi ke negara jiran gagal di perairan Singamata dan Pulau Bum-Bum, di sini, malam tadi.

Batalion 22 PGA Kunak dalam kenyataannya berkata, pihaknya yang melakukan Op Taring ESSZONE - Op Taring Bravo 3 di perairan Semporna mengesan sebuah bot kayu bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lanjut ke atas bot yang dikendalikan dua lelaki warga tempatan menemui sejumlah besar minyak masak bersubsidi jenama Sun Flower seberat satu kilogram setiap satu, disimpan dalam 90 bungkusan plastik hitam.

“Turut dirampas dua gelen petrol, sebuah enjin bot Yamaha 200 kuasa kuda serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak masak dan bot berkenaan dianggarkan RM67,442,” katanya.

Katanya, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Batalion 22 PGA Kunak menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi risikan serta rondaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di kawasan ESSZONE, khususnya di perairan Kunak dan Semporna.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama