Empat rumah, sebuah kedai terbakar di Tanjung Batu Laut Tawau

TAWAU: Sebanyak lima struktur melibatkan empat rumah dan sebuah kedai musnah dalam kebakaran di Tanjung Batu Laut, Jalan Kampung Pukat, di sini, pagi tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Mazlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.39 pagi.

“Sebaik menerima panggilan, empat jentera bomba digerakkan ke lokasi kejadian dengan bantuan pasukan bomba komuniti dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan empat rumah tidak kekal dan sebuah kedai jenis kekal,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan sumber air yang terhad di lokasi kejadian.

“Pili bomba terdekat berada pada jarak kira-kira 500 hingga 600 kaki dari lokasi, menyebabkan pihak bomba perlu mendapatkan bekalan air daripada jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya.

Menurutnya, operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.14 tengah hari sebelum ditamatkan pada jam 1.36 petang.

“Dalam operasi ini, kita berjaya menyelamatkan sebanyak 82 buah rumah berhampiran daripada turut musnah dalam kebakaran,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama