![]() |
| Jamawi Jaafar. |
KOTA KINABALU: Bekalan beras di Sabah berada pada tahap mencukupi walaupun terdapat laporan kekurangan bekalan di beberapa daerah di negeri ini sejak kebelakangan ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata setakat ini stok simpanan beras (stokpail) di negeri ini masih mampu menampung keperluan rakyat.
“Jumlah tersebut menjadi lebih stabil apabila digabungkan dengan stok perdagangan, stok yang dipegang pemborong serta bekalan beras tempatan.
“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan kekurangan bekalan beras yang berlaku di beberapa daerah di Sabah.
Jamawi berkata pihaknya telah berhubung dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) Sabah yang bertanggungjawab mengurus serta mengedarkan bekalan beras di negeri ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi tersebut.
“Bernas memaklumkan bekalan beras sebenarnya mencukupi dan kekurangan yang berlaku di beberapa daerah hanya bersifat sementara.
“Bekalan beras untuk daerah tertentu yang mengalami kekurangan kini sedang dalam proses penghantaran oleh pembekal yang dilantik Bernas.
“Orang ramai diminta supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas di negeri ini,” jelasnya.
Jamawi berkata kementeriannya turut mengambil langkah proaktif sejak awal bagi meningkatkan pengeluaran padi dan beras di Sabah.
Beliau berkata sesi libat urus telah diadakan di kawasan jelapang padi Terusan Sapi pada Februari lalu bagi meneliti usaha meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan.
Sementara itu, perbincangan turut diadakan bersama pihak berkaitan di kawasan jelapang padi Kota Belud bagi membincangkan isu yang menjejaskan pengeluaran padi di kawasan tersebut.
“Hasil perbincangan tersebut, kita telah mengenal pasti beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan bagi meningkatkan hasil padi dan beras di Sabah,” ujar beliau.
Menurut Jamawi, kerajaan turut menerima jaminan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi Malaysia bagi membuka tambahan kawasan sawah padi terbiar seluas 2,000 hektar.
Katanya, kawasan baharu tersebut melibatkan beberapa lokasi termasuk Kota Belud, Telupid, Tambunan, Keningau dan Tenom.
Jelasnya, pemantauan turut dilakukan apabila beliau bersama pegawai berkaitan turun padang meninjau kawasan sawah padi dan sistem pengairan yang dikenal pasti sesuai untuk pembangunan jelapang padi.
“Langkah berkenaan bertujuan meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras Sabah pada masa akan datang.
“Kerajaan negeri melalui kementerian saya akan terus berusaha meningkatkan hasil serta bekalan padi dan beras di Sabah bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa mencukupi,” tambahnya.
Bagaimanapun beliau mengakui Sabah masih perlu bergantung kepada import beras bagi memenuhi permintaan semasa.
“Kebergantungan kepada import tidak dapat dielakkan kerana keadaan ini telah berlarutan sekian lama, namun kerajaan akan terus memastikan bekalan beras di Sabah kekal stabil dan mencukupi untuk keperluan rakyat,” katanya.
