40% hasil Sabah muktamad, tiada lagi rundingan semula – Anwar

Anwar Ibrahim. 

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmennya untuk melaksanakan pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut adalah keputusan dasar kerajaan yang telah dimuktamadkan dan tidak lagi menjadi subjek rundingan.


“Sebagai kerajaan, kita telah memberi jaminan yang jelas bahawa komitmen terhadap 40 peratus hasil kepada Sabah akan dilaksanakan.


“Kita tidak merayu soal 40 peratus. Perkara itu sudah muktamad.


“Ini adalah keputusan dasar kerajaan yang telah saya nyatakan dalam Kabinet dan Parlimen. Tiada rundingan semula mengenai perkara itu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri yang bertempat di Dewan Kuliah 2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Ahad. 


Hadir sama pada manlis berkenaan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.


Menurutnya, keputusan untuk memfailkan rayuan di mahkamah sebelum ini bukan bertujuan mencabar tuntutan 40 peratus tersebut, sebaliknya berkaitan beberapa perkara lain dalam penghakiman yang dianggap tidak wajar.


“Rayuan dibuat kerana terdapat beberapa kenyataan dalam penghakiman yang menyinggung serta mempertikai peranan pemimpin negara dan negeri, dan kita mahu perkara itu diperjelaskan di mahkamah,” jelasnya. 


Beliau berkata kerajaan tetap menghormati komitmen yang dibuat di bawah Malaysia Agreement 1963 dan akan memastikan hak Sabah dilaksanakan secara adil.


Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan pembangunan kepada Sabah termasuk bagi menangani isu bekalan air, elektrik serta projek tebatan banjir.


“Soal air, elektrik yang diberikan besar dan mudah-mudahan mulai pentengahan tahun ini selesai sebahagian besar dari masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama