JKNS siasat insiden kereta api dan motor troli di landasan Tenom-Pangi

TENOM: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan berlaku insiden kemalangan membabitkan perkhidmatan kereta api dan sebuah motor troli di laluan kereta api Tenom ke Pangi pada 3 Mac lalu.

Dalam kenyataan hari ini, JKNS memaklumkan kejadian itu berlaku di Kilometer 134/4 landasan berkenaan.

Menurutnya, susulan kejadian itu, satu siasatan dalaman sudah diaktifkan melalui Board of Enquiry (Badan Penyiasatan Dalam) selaras dengan prosedur penyiasatan yang sedang berkuat kuasa.

“Pada masa sama, JKNS sudah membuat laporan polis di Balai Polis Tenom bagi memaklumkan insiden berkenaan serta tindakan lanjut pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

JKNS berkata, sebarang tindakan susulan akan dibuat berdasarkan hasil laporan siasatan Board of Enquiry selaras dengan peruntukan dalam Enakmen Keretapi 2017.

Menurutnya, insiden berkenaan bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

“JKNS berasa kesal atas insiden yang berlaku dan ketika ini siasatan dalaman jabatan serta siasatan polis sedang giat dijalankan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama