Kekalkan subsidi diesel RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak langkah munasabah - PM


KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak terus menikmati diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga bahan api itu meningkat di pasaran global susulan ketegangan di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil dengan mengambil kira faktor geografi serta cabaran logistik di kedua-dua negeri berkenaan.

Menurutnya, kerajaan memahami keperluan rakyat di Sabah dan Sarawak yang masih bergantung kepada diesel terutama bagi tujuan pengangkutan dan bekalan harian.

“Walaupun harga diesel meningkat, kita kekalkan subsidi pada kadar RM2.15 seliter bagi Sabah dan Sarawak kerana mengambil kira keadaan geografi dan logistik di sana.

“Kita mengambil keputusan yang saya fikir munasabah pada peringkat ini,” katanya dalam perutusan khas, hari ini.

“Namun, perbezaan harga ini juga menuntut langkah kawalan lebih rapi bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan akan memperketatkan penguatkuasaan termasuk menghadkan jumlah pengisian diesel bagi memastikan bekalan mencukupi dan diagihkan secara adil.

Katanya, bagi kenderaan ringan termasuk persendirian, had maksimum pengisian ditetapkan 50 liter setiap pembelian, manakala kenderaan pengangkutan awam dan barangan tidak melebihi tiga tan dihadkan kepada 100 liter.

"Bagi kenderaan melebihi tiga tan pula, had maksimum ditetapkan sebanyak 150 liter setiap pembelian.

“Langkah ini penting bagi memastikan bekalan diesel mencukupi dan mengelakkan kegiatan mengumpul serta menyeludup bahan api yang dikesan berlaku sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan subsidi kerana ia menyebabkan kerugian besar kepada negara.

“Amaran keras diberikan, sebarang kegiatan penyeludupan akan berdepan tindakan tegas menggunakan seluruh kekuatan jentera kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Anwar berkata konflik di Asia Barat termasuk melibatkan Iran dan negara Teluk memberi kesan kepada bekalan minyak dan gas dunia, sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi global.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia masih berada dalam keadaan stabil hasil keupayaan pengurusan tenaga negara, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi melindungi kepentingan rakyat.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama